Jumaat, 7 Ogos 2009

Tutorial Praktikum KPLI SR (7 Ogos 2009)

Pada petang jumaat jam 2.30 petang akan diadakan tutorial praktikum iaitu jam 2.30 hingga 3.30 dengan unit praktikum dan 3.30 hingga 5.00 bersama pensyarah major atau dengan pensyarah jabatan. Program ini hanya untuk GURU PELATIH DAN PENSYARAH SAHAJA. Guru Pembimbing tidak terlibat. Pelajar digalakkan memakai 'surgical mask' untuk keselamatan. Pihak IPG akan membekalkan mask tersebut kepada semua guru pelatih dan pensyarah terlibat. Program bimbingan ini juga dianggap sebagai satu bimbingan profesional antara pensyarah dan guru pelatih (Borang PR1) memandangkan banyak sekolah ditutup kerana H1N1. Oleh itu semua guru pelatih diingatkan agar membawa bersama RPH dan Portfolio untuk disemak oleh pensyarah berkaitan.

Khamis, 6 Ogos 2009

Kebaikan dan keburukan blog

Ramai yang nak tahu apa kebaikan atau keburukan blog. Blog berbeza dengan laman web kerana lebih statik. Blog pula lebih interaktif dan sentiasa di kemaskini oleh empunya blog. Ada yang sampai 3 - 7 kali sehari.

Perkongsian maklumat adalah yang paling berguna untuk pengguna blog. Pengguna boleh membaca apa sahaja maklumat, kemudian boleh berinteraksi dengan tuan punya blog yang memberikan maklumat melalui teks, gambar dan video serta cara interaktif yang lain.

Antara kebaikan blog ialah:
- Perbincangan di ruang komen atau chat box/shout di seluruh dunia secara online
- Melatih kemahiran menulis
- Melatih seni reka digital spt, design blog, kod CSS atau blog skin.
- Tempat menyampaikan idea, gagasan atau tugasan, jika anda seorang pensyarah atau guru.

Namun blog juga mempunyai keburukannya yang tersendiri. Baik atau buruknya sesuatu blog itu bergantung kepada orang yang mengendalikan blog tersebut. Bagaimana sikapnya, emosi serta perangainya dapat dilihat melalui penulisan di blog tersebut. Jika baik orang itu maka baiklah blognya. Kes-kes pengendali blog seperti kes Raja Petra boleh menjadi iktibar.

Keburukan blog yang utama ialah:
- Menyampaikan maklumat palsu, fakta salah dan yang juga berunsur fitnah.
- Blog digunakan untuk memburukkan seseorang seperti orang politik, artis dan sebagainya.
- Menyebarkan SPAM iaitu maklumat tak berguna semata-mata untuk untung besar dari iklan di blog.
- Sesiapa boleh menjadi penyamar di blog, iaitu tanpa nama dan gambar.
- Menyebarkan maklumat lucah, porno dan juga fail-fail yang berkaitan dengannya.

Namun begitu pokok pangkalnya dalam menghadapi dunia tanpa sempadan pengguna atau pembaca mestilah menggunakan ilmunya yang sepatutnya tinggi untuk menyaring maklumat secara bijak dan beretika.
-

Isnin, 3 Ogos 2009

(Terkini) Tutorial Praktikum KPLI SR Ambilan Januari 2009

Tarikh : 7 Ogos 2009
Hari : Jumaat
Masa : 2:30 ~ 3:30 petang
Tempat: KESIDANG (BM), TUN TEJA (BI), DTF (MT,SC,BK,PSV,KS,PK,PL)
Masa : 3:30 ~ 5 petang
Tempat: KESIDANG (BM), TUN TEJA (BI), DTF (MT,SC,BK,PSV,KS), SERI MELUR (PK,PL)

Sila bawa bersama RPH dan Portfolio
KEHADIRAN ADALAH WAJIB untuk yang sihat sahaja. Pastikan suhu badan anda di bawah 37.5 c untuk hadir. Bagi yang ada tanda-tanda demam H1N1 sila jangan hadir. Yang dikuarantin atau tidak sihat boleh hadir pada tarikh yang lain. Sila maklumkan kepada Pn Sarina jika anda tidak dapat hadir.

Sabtu, 1 Ogos 2009

Sekitar Majlis Hari Lahir Pensyarah dan Staf (Jun & Julai)




Majlis sambutan ulangtahun kelahiran pensyarah dan staf telah diadakan pada 31 Julai di Anjung Tadbir. Majlis ini adalah untuk mereka yang lahir pada bulan jun dan julai tahun 2009. Pada masa yang sama tutorial untuk pelajar PISMP dan PISMK OUM telah diadakan di DTF.

Khamis, 30 Julai 2009

Kursus Guru Pembimbing KPLI SR Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris pada 30 Julai 2009 di PKG Jasin, Melaka





Gambar peserta dan penceramah untuk Kursus Guru Pembimbing subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang diadakan pada 30 Julai 2009 (Khamis)bertempat di PKG Jasin, Melaka. Tujuan kursus ini adalah untuk memberi pendedahan tentang penyeliaan yang lebih berkesan semasa praktikum. Penceramah yang dijemput ialah Tn Hj Md Rahim bin Ab Majid (Jabatan Pengajian Melayu) dan En Rejendran a/l Raja Manikam dari Jabatan Bahasa.

Selasa, 28 Julai 2009

IPGM KPM akan dibuka semula pada hari Khamis 30 Julai 2009

Selepas tarikh kuarantin di rumah selama 7 hari maka IPGM akan dibuka semula untuk meneruskan agenda pendidikan dan latihan perguruan negara. Semua yang terjadi adalah kesan dari gejala H1N1 yang semakin menular di peringkat antarabangsa. Pencegahan dari jangkitan mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh agar perkara yang sama tidak berulang lagi. Panduan dari Kementerian Kesihatan haruslah diambil berat terutama dari segi disiplin dalam mengawal jangkitan tersebut.

Khamis, 23 Julai 2009

H1N1 Update

Sejumlah 18 kes baru influenza A(H1N1) telah dilaporkan di mana 17 kes adalah kes jangkitan tempatan dan hanya 1 kes import. Kes import ini adalah dari seorang warganegara Malaysia yang baru kembali bercuti dari London. Daripada 17 kes jangkitan tempatan, 13 kes yang dilaporkan adalah daripada 4 kluster manakala 4 kes adalah kes-kes sporadic atau terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 23 Julai 2009, adalah berjumlah 939 kes yang terdiri daripada 573(61%) kes import dan 366(39%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, hanya 11 kes atau 1% sahaja sedang menerima rawatan anti-viral di hospital. Baki 922 kes atau 98% telah sembuh dan 5 kes atau 1% menerima rawatan pesakit luar di rumah masing-masing.

Maklumat berkaitan 13 kes tempatan daripada 4 kejadian kluster di negeri Melaka adalah seperti berikut:

Lima (5) kes daripada kluster di kalangan pelajar Maktab Perguruan Durian Daun, Melaka. Maktab Perguruan ini mempunyai seramai 1,878 pelatih dan sejumlah 130 kes bergejala ILI dikesan sejak 20 Julai 2009. Sebanyak 5 sampel telah diambil dan kelima-limanya didapati positif jangkitan influenza A(H1N1). Semua pelatih yang bergejala ILI telah diberi rawatan simptomatik sebagai pesakit luar dan dikuarantin di asrama maktab berkenaan untuk membendung penularan influenza A(H1N1).

Empat (4) kes daripada kluster yang berlaku di kalangan 1,258 pelajar Kolej Yayasan Mara, Melaka. Seramai 33 pelajar telah dilaporkan menghidap jangkitan ILI dan dari 5 sampel random yang diambil, 4 adalah positif jangkitan influenza A(H1N1). 32 pelajar kes ILI telah dikuarantin di bilik isolasi di Asrama kolej tersebut sejak 21 Julai 2009 sementara seorang pelajar telah dimasukkan ke Hospital Melaka dan sedang menerima rawatan antiviral.

Tiga (3) kes daripada kluster di kalangan pelajar penghuni Asrama Kolej Professional Mara, Melaka. Asrama ini mempunyai 161 orang penghuni (153 pelajar dan 8 staf) dilaporkan mempunyai 41 kes ILI. Tiga (3) sampel random yang diambil mendapati semuanya adalah positif jangkitan influenza A(H1N1). Pelajar yang terlibat dikuarantin di salah sebuah blok penginapan sekolah mulai 21 Julai 2009. Tiada kes baru dikesan di kalangan pelajar lain.

Satu (1) kes daripada kluster di Nilam Nursing School Bachang, Melaka yang mempunyai 326 pelatih jururawat dan 20 kakitangan. Seramai 27 orang didapati menunjukkan gejala ILI. Daripada 2 sampel yang diambil, 1 positif dengan jangkitan influenza A(H1N1). Kes-kes berkenaan di isolasi di asrama kolej.
Kesemua 4 fasiliti yang dimaksudkan telah diarahkan ditutup serta-merta mulai 23 Julai 2009 selama 7 hari untuk membendung penularan di institusi berkenaan.

Daripada 4 kes tempatan yang lain yang sporadic atau terpencil, 1 daripada kes tersebut melibatkan kematian yang berlaku pada 21 Julai 2009. Maklumat kes tersebut adalah seperti berikut.

Kes kematian adalah seorang lelaki berusia 30 tahun, warga Indonesia, pelajar tahun pertama di International Center for Education in Islamic Finance, Kuala Lumpur. Daripada maklumat yang diperolehi kes telah bercuti ke Indonesia dan kembali ke Malaysia pada 5 Julai 2009 dan dilaporkan mula mengalami demam dan batuk sejak kembali bercuti tetapi simptom adalah ringan. Pada 20 Julai 2009 mula demam panas, batuk serta letih, dan pada 21 Julai 2009 telah pergi mendapatkan rawatan di sebuah Pusat Perubatan Swasta di Kg. Baru, Kuala Lumpur. Selepas menjalani pemeriksaan dan semasa menunggu mengambil ubat, kes tiba-tiba jatuh pengsan. Kes telah diberi bantuan kecemasan di Pusat Perubatan berkenaan, tetapi tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 11.50 pagi. Pusat Perubatan berkenaan merekodkan penyebab kematian sebagai `cardiac arrest due to ventricular fibrillation’.

Merujuk kepada situasi global, sehingga 23 Julai 2009, sejumlah 145,041 kes dengan 816 kematian telah dilaporkan daripada 158 negara. Peningkatan sebanyak 1,315 kes dengan 4 kematian.


Nasihat kepada orang ramai:

Kementerian Kesihatan akan terus memantau kejadian kes yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian kluster ILI dan orang awam termasuk institusi pendidikan dan tempat kerja untuk memberi kerjasama dengan melaporkan kejadian kes-kes yang bersimptom selesema, batuk atau sakit tekak yang juga dikenali sebagai `ILI’ (Influenza Like Illness). Mereka yang mendapat simptom yang teruk atau berkomplikasi perlu segera mendapatkan rawatan di hospital yang berdekatan untuk rawatan. Bagi memperlahankan penularan wabak ini, kerjasama orang ramai amatlah diperlukan untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:

Orang ramai diminta untuk terus dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya membasuh tangan secara rutin dan etika batuk. Mereka juga perlu mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta mengurangkan majlis perjumpaan).

Mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik yang berdekatan. Kes-kes yang bergejala ringan boleh berehat di rumah dengan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di tahap yang optimum. Mereka juga dinasihatkan memakai mask dan jika gejala bertambah teruk untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah telah di muat naik ke laman web Kementerian Kesihatan sebagai rujukan orang awam.

Kejadian-kejadian jangkitan influenza-like illness (ILI) atau jumlah ketidakhadiran (absenteeism) di sekolah atau di tempat kerja yang luar biasa, hendaklah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk siasatan lanjut.
Bagi mengetahui situasi dan perkembangan semasa pandemik H1N1, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang terkini dan tepat dari Kementerian Kesihatan melalui laman web Kementerian Kesihatan iaitu http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Talian Hotline influenza A(H1N1) Kementerian Kesihatan iaitu 03-88810200, 03-88810300, 03-88834414 dan 03-88834415 terus beroperasi antara 8.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari. Kementerian Kesihatan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A(H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua.

Sekian dan terima kasih.


DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia


Tarikh: 23 Julai 2009