Khamis, 23 Julai 2009

H1N1 Update

Sejumlah 18 kes baru influenza A(H1N1) telah dilaporkan di mana 17 kes adalah kes jangkitan tempatan dan hanya 1 kes import. Kes import ini adalah dari seorang warganegara Malaysia yang baru kembali bercuti dari London. Daripada 17 kes jangkitan tempatan, 13 kes yang dilaporkan adalah daripada 4 kluster manakala 4 kes adalah kes-kes sporadic atau terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 23 Julai 2009, adalah berjumlah 939 kes yang terdiri daripada 573(61%) kes import dan 366(39%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, hanya 11 kes atau 1% sahaja sedang menerima rawatan anti-viral di hospital. Baki 922 kes atau 98% telah sembuh dan 5 kes atau 1% menerima rawatan pesakit luar di rumah masing-masing.

Maklumat berkaitan 13 kes tempatan daripada 4 kejadian kluster di negeri Melaka adalah seperti berikut:

Lima (5) kes daripada kluster di kalangan pelajar Maktab Perguruan Durian Daun, Melaka. Maktab Perguruan ini mempunyai seramai 1,878 pelatih dan sejumlah 130 kes bergejala ILI dikesan sejak 20 Julai 2009. Sebanyak 5 sampel telah diambil dan kelima-limanya didapati positif jangkitan influenza A(H1N1). Semua pelatih yang bergejala ILI telah diberi rawatan simptomatik sebagai pesakit luar dan dikuarantin di asrama maktab berkenaan untuk membendung penularan influenza A(H1N1).

Empat (4) kes daripada kluster yang berlaku di kalangan 1,258 pelajar Kolej Yayasan Mara, Melaka. Seramai 33 pelajar telah dilaporkan menghidap jangkitan ILI dan dari 5 sampel random yang diambil, 4 adalah positif jangkitan influenza A(H1N1). 32 pelajar kes ILI telah dikuarantin di bilik isolasi di Asrama kolej tersebut sejak 21 Julai 2009 sementara seorang pelajar telah dimasukkan ke Hospital Melaka dan sedang menerima rawatan antiviral.

Tiga (3) kes daripada kluster di kalangan pelajar penghuni Asrama Kolej Professional Mara, Melaka. Asrama ini mempunyai 161 orang penghuni (153 pelajar dan 8 staf) dilaporkan mempunyai 41 kes ILI. Tiga (3) sampel random yang diambil mendapati semuanya adalah positif jangkitan influenza A(H1N1). Pelajar yang terlibat dikuarantin di salah sebuah blok penginapan sekolah mulai 21 Julai 2009. Tiada kes baru dikesan di kalangan pelajar lain.

Satu (1) kes daripada kluster di Nilam Nursing School Bachang, Melaka yang mempunyai 326 pelatih jururawat dan 20 kakitangan. Seramai 27 orang didapati menunjukkan gejala ILI. Daripada 2 sampel yang diambil, 1 positif dengan jangkitan influenza A(H1N1). Kes-kes berkenaan di isolasi di asrama kolej.
Kesemua 4 fasiliti yang dimaksudkan telah diarahkan ditutup serta-merta mulai 23 Julai 2009 selama 7 hari untuk membendung penularan di institusi berkenaan.

Daripada 4 kes tempatan yang lain yang sporadic atau terpencil, 1 daripada kes tersebut melibatkan kematian yang berlaku pada 21 Julai 2009. Maklumat kes tersebut adalah seperti berikut.

Kes kematian adalah seorang lelaki berusia 30 tahun, warga Indonesia, pelajar tahun pertama di International Center for Education in Islamic Finance, Kuala Lumpur. Daripada maklumat yang diperolehi kes telah bercuti ke Indonesia dan kembali ke Malaysia pada 5 Julai 2009 dan dilaporkan mula mengalami demam dan batuk sejak kembali bercuti tetapi simptom adalah ringan. Pada 20 Julai 2009 mula demam panas, batuk serta letih, dan pada 21 Julai 2009 telah pergi mendapatkan rawatan di sebuah Pusat Perubatan Swasta di Kg. Baru, Kuala Lumpur. Selepas menjalani pemeriksaan dan semasa menunggu mengambil ubat, kes tiba-tiba jatuh pengsan. Kes telah diberi bantuan kecemasan di Pusat Perubatan berkenaan, tetapi tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 11.50 pagi. Pusat Perubatan berkenaan merekodkan penyebab kematian sebagai `cardiac arrest due to ventricular fibrillation’.

Merujuk kepada situasi global, sehingga 23 Julai 2009, sejumlah 145,041 kes dengan 816 kematian telah dilaporkan daripada 158 negara. Peningkatan sebanyak 1,315 kes dengan 4 kematian.


Nasihat kepada orang ramai:

Kementerian Kesihatan akan terus memantau kejadian kes yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian kluster ILI dan orang awam termasuk institusi pendidikan dan tempat kerja untuk memberi kerjasama dengan melaporkan kejadian kes-kes yang bersimptom selesema, batuk atau sakit tekak yang juga dikenali sebagai `ILI’ (Influenza Like Illness). Mereka yang mendapat simptom yang teruk atau berkomplikasi perlu segera mendapatkan rawatan di hospital yang berdekatan untuk rawatan. Bagi memperlahankan penularan wabak ini, kerjasama orang ramai amatlah diperlukan untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:

Orang ramai diminta untuk terus dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya membasuh tangan secara rutin dan etika batuk. Mereka juga perlu mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta mengurangkan majlis perjumpaan).

Mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik yang berdekatan. Kes-kes yang bergejala ringan boleh berehat di rumah dengan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di tahap yang optimum. Mereka juga dinasihatkan memakai mask dan jika gejala bertambah teruk untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah telah di muat naik ke laman web Kementerian Kesihatan sebagai rujukan orang awam.

Kejadian-kejadian jangkitan influenza-like illness (ILI) atau jumlah ketidakhadiran (absenteeism) di sekolah atau di tempat kerja yang luar biasa, hendaklah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk siasatan lanjut.
Bagi mengetahui situasi dan perkembangan semasa pandemik H1N1, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang terkini dan tepat dari Kementerian Kesihatan melalui laman web Kementerian Kesihatan iaitu http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Talian Hotline influenza A(H1N1) Kementerian Kesihatan iaitu 03-88810200, 03-88810300, 03-88834414 dan 03-88834415 terus beroperasi antara 8.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari. Kementerian Kesihatan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A(H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua.

Sekian dan terima kasih.


DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia


Tarikh: 23 Julai 2009

Pindaan tarikh tutorial PISMP

Tarikh tutorial untuk PISMP (sepatutnya 24 Julai) akan dibuat serentak dengan kumpulan PISMK OUM pada 31 Julai 2009. Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Gambar Kenangan semasa Kursus Pemantauan untuk Pensyarah di Plaza Hotel, KL





Gambar semasa Kursus pada 15 hingga 17 Julai di Hotel Plaza Kuala Lumpur. Semua JK Pasukan Pengurusan Praktikum dan Pensyarah Baru terlibat.